Gila Balak: Menelusur jejak-jejak mafia kayu balak Asia

Author: Lukas Straumann
Format: Paperback 323 pp.
Subjects: Environment & Ecology, Malaysia
Publisher: SIRD
Published: 2016
ISBN: 9789670960494
Price: RM40.00

 

Gila Balak menyiasat apa yang telah disebut oleh Gordon Brown sebagai “jenayah alam sekitar terbesar masa kini”: kerosakan hutan hujan secara besar-besaran oleh pembalak-pembalak Malaysia. Sejarahwan dan aktivis, Lukas Straumann bukan sahaja “mencari semula” hutan hujan yang telah “hilang” dan orang-orang yang pernah suatu ketika dahulunya tinggal menetap di situ, malah beliau juga menelusur setiap jaringan penjenayah yang telah mengaut keuntungan ribuan juta melalui rasuah dan jualan kayu balak haram.

Straumann telah menamakan Abdul Taib Mahmud, Yang di-Pertua Negeri Sarawak sebagai kepala mafia kayu balak Asia. Pada masa yang sama, Straumann juga menunjukkan betapa keluarga Taib dengan bantuan rakan subahat utama iaitu institusi-institusi kewangan telah berjaya meraih laba keuntungan sebanyak USD 15 ribu juta. Gila Balak ialah kisah sekelompok masyarakat yang kehilangan warisan “syurgaloka” turun-temurun yang telah digalang ganti dengan ladang-ladang kelapa sawit, pencemaran dan rasuah. Dan kini, mereka berjuang menuntut kembali “kehilangan” itu.

Posted in Books, Environment, Malay Books

Kerajaan : Budaya Politik Melayu di Ambang Pemerintahan Kolonial

Author: Anthony Milner
Format: Paperback 274 pp.
Subject: History & Biography, Malaysia & Politics
ISBN: 9789670960265
Publisher: SIRD
Published: 2016
First Published: 1982
Price: RM48.00

Sebuah kajian perintis dan provokatif tentang pemikiran politik Melayu di ambang pemerintahan kolonial – berdasarkan sumber-sumber Melayu dan Eropah, dan mengetengahkan isu-isu yang terus menjadi kritikal di Malaysia pada hari ini. Dengan memberi tumpuan kepada semenanjung Tanah Melayu dan Sumatra Utara, Kerajaan adalah buku yang bersifat inovatif pada pendekatannya – sebuah penyiasatan yang penuh dengan metodologi yang dibangunkan dalam bidang antropologi dan kritikan sastera. Buku ini menegaskan bahawa apa-apa analisis pemikiran sosial bukan-Barat adalah penting untuk mencapai sebuah sejarah yang benar-benar global, menyentuh kepelbagaian perspektif dan pengalaman manusia. Pada tahun 2003 Persatuan Pengajian Asia Amerika Syarikat mengangkat Kerajaan sebagai salah satu daripada 25 ‘karya-karya penting dalam kajian sejarah’ dan ‘paling kerap dirujuk dalam kesusasteraan’ bidang sejarah Asia Tenggara.

‘… sebuah karya klasik dalam kajian Malaysia oleh sebab penghuraian teori dan empirikal tentang keadaan dan kandungan kerajaan Melayu tradisional … Bagi sesiapa yang ingin mula memahami politik Melayu kontemporari, terutamanya peranan raja-raja Melayu dan akar sosio-sejarah mereka, buku Kerajaan karya Milner ini adalah sesuatu yang wajib dibaca.’ – Shamsul A.B.

‘Penerbitan semula buku Kerajaan… akan memberi dorongan kepada pengembangan radikal dalam kajian sejarah idea di Asia Tenggara.’ – Syed Muhd Khairudin Aljunied

Milner ‘membuktikan bahawa adalah tidak mustahil untuk mempelajari sejarah melalui bahasa dan sastera tanpa mengasingkan pemikiran dan tindakan.’ – Tony Day

Posted in Biography & Memoir, Books, History, Malay Books, Politics

Menyanggah Belenggu: Kerancuan Fikiran Masakini

Author: Azhar Ibrahim
Format: Paperback 266 pp.
Subject: Social Studies
ISBN: 9789670960159
Publisher: SIRD
Published: 2016
Price: RM38.00
 
Sebagai seorang ilmuan, Dr. Azhar Ibrahim menghayati  isu-isu dalam Pengajian Melayu sebagai rangkaian yang kait mengait, memahami satu bidang memerlukan pengolahan bidang yang lain dalam wacana yang semakin meluas;  sejarah menjurus ke tema kebebasan; orientalisme menilai kembali kesulitan dalam feudalisme; humanisme memperluaskan lagi makna dalam teks Melayu; multikulturalisme menyentuh pembinaan identiti; kekaburan akademik menyekat kefahaman masyarakat; neo-liberalisme menentukan arah pengajian seni dan sastera; idealisme diimbangi oleh perancangan  dalam wacana pengajian yang baru.  Dr. Azhar Ibarhim menyeru orang-orang muda supaya mengenali sejarah dan mengekalkan adab dan adat Melayu.  Tema berpasangan ini yang dikupas begitu mendalam menaikkan lagi darjat Pengajian Melayu sebagai satu bidang ilmu yang sah dan berguna.

Prof Dr Zakaria Ali
Malaysia

Kelangkaan inteligensia Melayu Singapura yang peduli akan jatuh bangunnya bangsa Melayu Singapura, khususnya terhadap budaya yang menjurus mengenai seni sasteranya, menurut saya mula tumbuh kembali apabila kita mahu mengenal sosok peribadi Dr Azhar Ibrahim. Kegiatannya yang memunculkan pertemuan-pertemuan seperti CITA, KULIAH BUSTAN menjadi kenyataannya. Begitu pula dengan terbitnya buku Menyanggah Belenggu Keracunan Fikiran  ini, mudah-mudahan akan lahir satu sosok ahli fikir yang berani mendobrak cara berfikir yang lazim membelenggu bangsa kita, insya-Allah.

Suratman Markasan
Sasterawan, Singapura

Posted in Malay Books, Social Studies

Ide-Ide Reformasi Islam Malaysia Kini: Ilham dari Jiwa Pengajaran ulama-ulama Tariq Shah Wali Ullah al Dihlawi Silam Kelantan

Author: Nik Aziz Nik Hasan
Format: Paperback 344 pp.
ISBN: 9789670960197
Publisher: SIRD
Published: 2016
Price: RM40.00

 
Kegiatan keilmuan ulama-ulama reformis Tariq Shah Wali ullah al Dehlawi di Kelantan mulai dalam tahun 1934 sehingga awal abad ke 21 (sebagaimana yang terdapat dalam bab 2 dan 3) banyak memberi I’lham kepada penulis untuk menghasilkan artikel-artikel sebagaimana yang terdapat dalam buku ini (sila lihat bab 7, 8, 9, 10, 11, 12, 13 dan 14). Pendekatan pemikiran dalam artikel-artikel ini mempunyai beberapa kelainan dengan pendekatan pemikiran Islam yang mendominafi arus perdana Ummah Negara kini. Artikel-artikel ini diharap dapat turut bersama-sama dengan aliran-aliran reformisma islam yang lain dalam membantu ummah untuk keluar daripada kepompong dan kemelut Konservatisma dan dogmatisma kini.
Posted in Books, Malay Books, Religion

Suara Bicara: Fragmen Memoir Said Zahari

Editor: Abdul Rahman Embong
Format: Paperback 249 pp.
Subjects: Memoir, Politics, Singapore
ISBN: 9789670630809
Publisher: SIRD & Pusat Sejarah Rakyat
Published: 2015
Price: RM40.00
 

Suara Bicara: Fragmen Memoir Said Zahari ialah buku ketiga dan terakhir dalam trilogi memoir Said Zahari. 

 
Buku ini merupakan fragmen memoir yang mengandungi karya beliau serta wawancara dengannya; ia juga sekaligus sebuah festschrift atau karya penghormatan untuk beliau daripada kawan-kawan termasuk anak-anaknya. Seperti dua buah memoir Pak Said sebelum ini, apa yang terpancar dalam buku ini ialah watak beliau yang penuh optimisme, tidak boleh ditundukkan oleh penjara, seksaan dan penghinaan, juga tidak boleh ditundukkan oleh penyakit dan usia. 
 
Beliau berdiri sebaris dengan sejumlah tahanan politik lain yang hebat di Malaysia dan Singapura, bahkan di dunia, yang telah mengorbankan masa paling berharga mereka dalam penjara dan mengobarkan semangat juang yang tidak boleh ditundukkan. Walaupun diri mereka pernah dipenjara, jiwa mereka bebas memeluk pertiwi manakala pemikiran menjangkau luas di persada dunia. 
 
Pak Said dan rakan-rakannya telah memahatkan nama dalam sejarah perjuangan kebebasan manusia sejagat yang kekal abadi. 
 
Buku ini meraikan sejarah hidup dan sumbangan besar Pak Said kepada perjuangan kemerdekaan, kebebasan dan keadilan, serta sebagai lambang nurani kebebasan umat manusia. Ia harus dibaca oleh semua pihak yang ingin mengetahui dan menghayati kisah-kisah hidupnya dan anak-anaknya, serta mereka yang cintakan kebebasan, demokrasi, keadilan, perpaduan kaum  serta kemanusiaan sejagat.
Posted in Biography & Memoir, Malay Books, Politics

Perjuangan Kaum Pekerja Ladang Asahan

Author: Teo Cheng Hai
Format: Paperback 261 pp.
Subjects: History & Biography, Malaysia, Politics, Social Studies
ISBN: 9789670630663
Publisher: SIRD & Pusat Sejarah Rakyat
Published: 2015
Price: RM30.00
 
Buku Perjuangan Kaum Pekerja Ladang Asahan memaparkan kisah penderitaan dan perjuangan para pekerja berbilang kaum dari ladang getah Bukit Asahan, Melaka menentang penindasan. Mereka telah bangkit menuntut hak mereka dengan menganjurkan perarakan bersejarah bermula dari Bukit Asahan, Melaka  pada  14 April 1967 hingga tiba di Kuala Lumpur. Sejumlah pemimpin mereka ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 
 
Perjuangan ini melambangkan perpaduan dan setiakawan para pekerja berbilang kaum yang bersatu padu dalam perjuangan membela nasib bersama. Penerbitan buku ini ialah salah satu daripada projek Pusat Sejarah Rakyat untuk menghasilkan karya-karya yang bertolak daripada ‘pandangan dari bawah’, yakni daripada perspektif rakyat yang terlibat dalam pelbagai perjuangan dalam sejarah tanah air kita. 
 
Buku ini pertama kali diterbitkan dalam bahasa Tionghua pada tahun 2013 dan mendapat sambutan baik para pembaca khususnya mereka yang terlibat dalam perjuangan dahulu. Kini edisi bahasa Melayu dapat diterbitkan agar para pembaca yang lebih ramai khususnya mereka yang berbahasa Melayu dapat turut mengetahui dan menghayati sejarah perjuangan ini serta memperoleh ilham dan pengajaran daripadanya.
 
About the Author
 
Teo Cheng Hai lahir di Pontian Kecil, Johor pada tahun 1941. Setelah menamatkan pelajaran menengah rendahnya di Sekolah Menengah Pei Chun Pontian Kecil pada tahun 1957, beliau melanjutkan pelajaran menengah tingginya di Sekolah Menengah Yee Yin, Singapura. Pada tahun 1961, beliau menjawat sebagai Setiausaha Kerja Persatuan Penduduk Desa Singapura. Pada tahun 1963, beliau menyambung pelajaran di Universiti Nanyang, Singapura. 
 
Pada tahun 1964, beliau terpaksa pulang ke Malaysia setelah pengajiannya diberhentikan oleh pihak universiti akibat kegiatan politik. Beliau kemudian bekerja di Projek Hidroeletrik Voltan Tinggi Cameron Highlands yang diusahakan oleh sebuah syarikat Jerman. Beliau giat dalam gerakan buruh, menyertai UMEWU pada tahun 1965 dan menjadi Setiausaha Pentadbiran UMEWU. 
Posted in History, Malay Books, Politics

Melayu Singapura: Sebagai Kaum Minoriti dan Muslim

Author: Hussin Mutalib
Format: Paperback 324 pp.
Subject: Ethnic Studies, Social Studies
ISBN: 9789670630793
Publisher: SIRD & NUS Press
Published: 2015
Price: RM38.00
 

Orang Melayu merupakan antara tiga kaum terbesar di Republik ini. Buku ini mengetengahkan permasalahan dan analisis menyeluruh mengenai ‘cerita orang Melayu Singapura’. Dibentang dan dibahaskan secara menyakinkan, penulis menganalisis kesemua aspek penting dan mencabar yang dilalui masyarakat Melayu – merangkumi isu-isu politik, pendidikan, ekonomi, sosial, agama dan kepimpinan. Buku ini adalah sumbangan amat penting dalam usaha kita memahami orang Islam Singapura dan liku-liku hidup yang mereka alami sebagai rakyat sebuah negeri global. Buku ini amat berguna kepada para pengkaji dan penyelidik serta golongan pelajar dan pembaca umum yang berminat dalam bidang-bidang Pengajian Singapura, Pengajian Asia Tenggara, Permasalahan Kaum Minoriti, Dunia Melayu dan Islam di Asia. 

Tentang Penulis

Hussin Mutalib, Ph.D., telah mengajar di Jabatan Sains Politik Universiti Nasional Singapura (NUS) selama lebih 30 tahun. Beliau banyak mengkaji dan menerbitkan buku dan artikel mengenai isu-isu politik dan kemasyarakatan – di Singapura, Asia Tenggara, Timur Tengah dan Dunia Islam amnya. Profesor Hussin juga pernah diundang sebagai Fulbright Fellow/Profesor Pelawat di universiti-universiti terulung dunia seperti Universiti Harvard, Universiti Oxford, Universiti California (Berkeley), London School of Economics and Political Science, Universiti Hawaii, Universiti Kaherah, dan Universiti Jordan.

 
 
 
Posted in Ethnic Studies, Malay Books, Social Studies

Kajian Perbandingan Pantun Melayu Dengan Nyanyian Rakyat Cina

Author: Xu You Nian
Format: Paperback, 375 pages
Subjects: Chinese literature, Malay literature
ISBN: 9789670630526
Publisher: SIRD
Published: 2015
Price: RM40.00
 
Buku ini bukan sahaja adalah hasil penyemakan dan penambahbaikan secara menyeluruh dengan mengintegrasikan bahan kajian yang terbaharu dengan sudut pandangan serta kaedah kajian yang terbaharu setelah mengambil masa setengah hayat hidup saya, tetapi juga mengajukan model kajian terhadap pantun yang baru dengan melibatkan banyak negara.
 
Oleh sebab itu, buku ini diharap dapat membawa pembaikan dan peningkatan kepada kajian terhadap pantun tidak kira sama ada dari segi ruang lingkup kajian (yang luas dan mendalam), sudut pandangan, cara kajian dan bahan kajian yang kaya ataupun ketepatan hujah – berasaskan bahan yang digunakan sebagai bukti. Nilai kajian ini juga terletak pada ia bukan sahaja boleh mengisi kekosongan dalam kajian seumpama ini di China, malah juga membantu menambah satu lagi lapisan kebudayaan ke atas batu asas hubungan dan pertukaran kebudayaan, selain perkembangan ekonomi dan politik antara China dengan negara-negara di Alam Melayu pada masa sekarang.
 
Keistimewaan yang paling besar dalam buku ini ialah huraiannya tentang sumber permulaan perkembangan hubungan kebudayaan antara China dengan negara-negara di Alam Melayu selama ribuan tahun ini setelah mengkaji-prosesnya, selain pengaruh dan faktor yang berkenaanyang terlibat secara mendalam dan terperinci. Untuk menjalankan kajian ini, saya telah memilih topik perbandingan nyanyian rakyat cinta di China sebagai tali untuk mengeratkan hubungan kebudayaan Cina dengan pantun Melayu melalui beberapa aspek dalam ilmu seks untuk cuba mengungkapkan ‘kebenaran sejati’ manusia, sekaligus keperluan yang paling asas pada manusia. Bertitik-tolak dari itulah, saya telah menjalankan kajian perbandingan ini dengan terperinci dan menyeluruh.
 
Dengan menyelami pengajian tentang fungsi kebudayaan nyanyian rakyat Cina dan pantun Melayu dengan menggali dan membongkar aspek seks dan cinta asmara yang paling jitu dan tulus ikhlas itulah diharapkan kita dapat mengetahui kesedaran manusia pada masa silam terhadap hidup sehinggakan kita dapat menikmati dan menghayati alunan merdu dalam nyanyian rakyat Cina dan pantun Melayu yang dipersembahkan dengan lincah, menarik dan berbeza antara satu dengan yang lain.
Posted in Arts & Culture, Malay Books

Ringkasan Sejarah Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya

Translator: Indrajaya Abdullah
Format: Paperback, 186 pages
Subject: History
ISBN: 9789670630403
Publisher: SIRD
Published: 2014
Price: RM28.00

Buku Ringkasan Sejarah Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya ini adalah buku yang perlu dibaca oleh setiap orang yang benar-benar ingin mengetahui sejarah tanah air kita khususnya sejarah tentang perlawanan rakyat di negara kita dalam periode penjajahan Jepun di masa Perang Dunia Kedua. Medan perang Malaya, adalah salah satu bahagian daripada medan Perang Anti-fasis Sedunia dalam Perang Dunia Kedua. Dalam perang itu, rakyat Malaya di bawah pimpinan Parti Komunis Malaya, telah memberikan sumbangannya dengan gagah berani. Ia telah menunjukkan semangat rakyat kita yang dengan tegas tidak berganjak menentang kaum penjajah apapun, baik penjajah barat mahupun penjajah timur dan sebagainya.

— Abdullah CD

*Buku ini adalah terjemahan dengan adaptasi daripada buku “马来亚人民抗日军”, diterbit di Hong Kong pada 1992 oleh The Witness Publish Company of Hong Kong

Posted in Malay Books, Politics

Bahasa dan Tantangan Intelektualisme

Author: Azhar Ibrahim
Format: Paperback, 270 pages
Subject: Social Studies
ISBN: 9789670630380
Publisher: SIRD
Published: 2014
Price: RM38.00

Buku ini membincangkan isu-isu pokok mengenai fungsi bahasa, pemikiran, permasalahan, visi, pembelajaran dan pendidikan bahasa, perancangan dan pengintelektualan bahasa, peranan inteligentsia dan cabaran membina bahasa Melayu sebagai bahasa yang hidup, dinamik dan moden. Fungsi bahasa Melayu bukan hanya alat komunikasi bersifat formalistik, estetik, bernilai warisan semata, tetapi sebagai ranah yang memberi makna kehidupan, pengertian kemanusiaan utuh, saluran kreatif dan kritis untuk membangunkan bangsa. Peranan elit bahasa dihuraikan sebagai ‘Penjana intelektual’ tetapi sebahagian elit bahasa Melayu didapati ‘muflis citarasa intelektual’ dan terjerat dalam pendekatan formalisme. Buku ini dikupas dengan pendekatan sains sosial yang tersusun, dengan hujah yang meyakinkan dan pengucapan segar; didasari dengan intisari pemikiran intelektual nusantara dan dunia seperti Syed Hussein Alatas, Za’ba, Mochtar Lubis, Rustam Sani, Sutan Takdir Alisjahbana, Erich Fromm, Edward Said dan Karl Mannheim.

Buku ini membuka luas jendela wacana bahasa Melayu dan menghembus semangat intelektualisme dalam rumah Pengajian Melayu-Indonesia. Penerokaan dan penggalian Azhar Ibrahim di taman bahasa ini mampu menggugah dan menjadi tantangan minda kepada para sarjana, pendidik, penulis, wartawan, pelajar dan peminat bahasa Melayu.

—  Profesor Madya Dr. Hadijah bte Rahmat
Pemangku Ketua, Kumpulan Akademik Bahasa dan Kebudayaan Asia
Institut Pendidikan Kebangsaan, Universiti Teknologi Nanyang

Dr. Azhar Ibrahim, dalam kedudukannya sebagai intelektual muda berwawasan luas dan berpandangan tajam mengenai masalah humaniora, sadar benar, bahwa bahasa, yang menurut Karl Marx merupakan pencapaian manusia, tidak mungkin dibiarkan berkembang tanpa arah. Bahasa, baik sebagai wadah pemikiran maupun sebagai wahana komunikasi, pasti terikat oleh kaedah-kaedah tertentu yang berkaitan dengan dimensi kebudayaan, dimensi kebangsaan, dan dimensi dinamika serta kreativiti, perlu dikawal dan dipertanggung-jawabkan secara ilmiah.

Siapa yang perlu mengawal, tentunya tidak lain adalah kaum intelektual, dan makna ‘intelektual’ di sini tidak selamanya berkaitan dengan pendidikan tinggi, akan tetapi dengan rasa tanggung jawab untuk memajukan kebudayaan, baik kebudayaan suatu bangsa tertentu, maupun dalam hubungannya dengan kebudayaan-kebudayaan lain.

Dalam mengawal perkembangan bahasa, sebagaimana yang dikemukakan secara implisit oleh Friedrich Waismann dan dikutip dalam buku ini, kaum intelektual perlu memiliki sikap yang luwes atau flexible, agar bahasa mampu menampung dinamika zaman tanpa mencederai hakikat bahasa baik sebagai wadah pemikiran maupun sebagai wahana komunikasi.

Kendati, sekali lagi, makna ‘intelektual’ tidak selamanya berkaitan dengan pendidikan tinggi, mau tidak mau masalah kebahasaan tidak mungkin dilepaskan dari peran pendidik, dan karena itu, pendidikan merupakan wahana penting dalam mengawal dan mempertanggungjawabkan perkembangan bahasa.

— Prof Emeritus Budi Darma
Universitas Negeri Surabaya, Indonesia

Posted in Malay Books, Social Studies

Konsep Wira Dalam Masyarakat Melayu: Membelai Romantisme Dekaden (Edisi Baru)

Author: Shaharuddin Maaruf
Format: Paperback, 153 pages
Subject: Social Studies
ISBN: 9789670630434
Publisher: SIRD
Published: 2014
Price: RM20.00

Persoalan kepimpinan sesungguhnya asasi bagi kemajuan sesebuah masyarakat. Justeru, konsepsinya apa itu keperwiraan atau heroic adalah signifikan, dalam pengertian ia mencoraki sebahagiannya pola motivasi mereka yang terlibat. Pengarang buku ini berusaha mengkaji konsepsi wira sebagai yang dipamirkan golongan pemerintah. Ia menjejaki hubungannya dengan berbagai peristiwa penting dalam sejarah Melayu buat menunjukkan kepentingan temanya…Mereka yang kurang bersetuju dengan beberapa kenyataan dalam buku ini seharusnya sanggup menolaknya secara logik dan tersusun. Namun apa jua sambutannya, yang pasti, cara pengarang mengolah persoalan menyajikan satu pembacaan yang menarik. Setiap orang yang berhasrat mendalami lagi pengertiannya tentang masyarakat Melayu tidak mampu mengabaikan buku ini.

Buku ini sebenarnya adalah lebih tentang pemuja wira dari tentang wira. Ia mengkaji tokoh-tokoh hanya sekadar mereka itu mencerminkan nilai-nilai dan idealisme pemuja-pemuja mereka sendiri. Tumpuan buku bukanlah untuk meleraikan perbahasan tokoh-tokoh mana yang sepatutnya dinobatkan sebagai wira-wira Melayu, baik Hang Tuah atau pun Hang Jebat sekali pun. Persoalan bagi buku ini tetap terutamanya tertumpu kepada pengamatan nilai-nilai dan idealisme Melayu, kesedaran jati diri dan budaya. Buku menyelidik kuasa-kuasa sosial yang telah membina dan mencoraki nilai-nilai dan idealisme tersebut, seperti tercermin dalam dinamika dan ideologi kumpulan, jua kepentingan-kepentingan terpendam mereka yang terlibat.

(Dari Prakata pengarang)

Posted in Malay Books, Politics, Social Studies

Kalimah Allah Milik Siapa? Renungan dan Nukilan Tentang Malaysia di Era Pancaroba

Author: Azly Rahman
Format: Paperback, 344 pages
Subjects: Religion, Social Studies
ISBN: 9789670630427
Publisher: SIRD
Published: 2014
Price: RM40.00

“…Azly telah jelas dapat melihat sambil menebusi gejala dan sandiwara yang sedang melanda negara ini. Beliau telah mengambil pandangan yang jujur ​​dan ikhlas menyatakan punca asas bagi keadaan kemelut Malaysia pada hari ini. Pendekatan ‘menyelami’ dan objektif ini telah dapat mengambil kira beberapa naratif kolonial pra-Merdeka, pasca tahun 1969, dan era pasca Mahathir. Beliau telah mentafsirkan makna-makna yang penuh muslihat dan juga yang membinasakan; hasilan arus pembangunan yang pada masa kini amat bertentangan dengan aspirasi yang dikongsi dan dipegang bersama oleh masyarakat Malaysia yang telah berevolusi.” – Professor Murray Hunter

“Tulisan Azly ini merentasi beberapa bidang yang penting dalam pendidikan, budaya, politik, ekonomi dan masyarakat. Banyak daripada penulisan beliau, walaupun sesetengah pembaca mungkin mendapati agak pendek dan kurang menjelaskan jawapan soalan yang dibangkitkan, di samping terlalu padat teori, telah berjaya mencabar status quo dalam pemikiran rasmi tentang bagaimana hal ehwal negara harus dikendalikan. Dengan memberi tumpuan kepada asas-asas falsafah dan politik bagi dasar dan tindakan, Azly menyediakan alternatif yang menarik berbanding ulasan-ulasan yang bersifat mengampu daripada orang-orang yang lebih dekat dengan pengurusan kerajaan (dan kuasa politik) di negara ini….” – Dr. Lim Teck Ghee

“Azly menggesa kita agar membaca tanda-tanda yang banyak di alam semesta sosio-budaya kita sendiri sebagaimana kita mengemudi lautan dunia hiper-moden yang semakin berpotensi untuk mengkhianatkan supaya kita juga, sama seperti orang Polinesia belayar di Pasifik, boleh berjaya dalam memaju ke hadapan atas hasrat menemui dunia-dunia baharu, yang tidak termimpi oleh mereka dan juga janji-janji yang terdapat di seberang perairan baharu yang belum lagi diterokai….” – Dr. Bakri Musa

Posted in Malay Books, Politics, Religion, Social Studies

Bangkit: Tempoh Pentadbiran Abdullah Badawi di Malaysia

Editors: Bridget Welsh & James U.H. Chin
Format: Paperback, 312 pages
Subject: Politics
ISBN: 9789670630311
Publisher: SIRD
Published: 2014
Price: RM38.00

Terjemahan rancangan pilihan daripada buku: Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia.

Beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dengan harapan besar dan beliau sepatutnya dapat melakukan lebih banyak. Malah slogan beliau ketika mula memegang jawatan ialah “bekerja bersama saya, bukan untuk saya”. Beliau sepatutnya mengambil peluang melakukan perubahan kabinet, perkhidmatan awam, kehakiman dan organ kekuasaan da pentadbiran. – Tengku Razaleigh Hamzah

Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaysia antara tahun 2003 hingga tahun 2009. Lebih dikenali sebagai Pak Lah, beliau memegang jawatan dengan mandate besar. Semasa Pilihan Raya Umum 2004, parti pemerintah Barisan Nasional (BN) mencapai prestasi terbaiknya sejak tahun 1969. Lima tahun kemudian semasa Pilihan Raya Umum 2008, BN hanya memenangi 140 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan, tewas di 58 buah kerusi. Lebih penting lagi BN kehilangan tradisi kemenangan dua pertiga di parlimen.

Dalam edisi ini, 15 penulis, gabungan warga dan bukan warga Malaysia, memberikan penilaian kepada pentadbiran satu penggal Abdullah. Tema utama buku ini ialah persoalan: bagaimana Tun Abdullah mengubah lanskap politik Malaysia? Penerbitan ini menawarkan tinjauan menyeluruh pentadbiran Abdullah daripada dalam dan luar pentadbirannya. – Bridget Welsh & James U.H. Chin, Penyunting

Penyumbang

Tun Abdullah Ahmad Badawi; Tengku Razaleigh Hamzah; Dato’ Seri Abdul Azim Zabidi; Datuk Zaid Ibrahim; Dato’ Seri Mohamed Khir Toyo; Datuk Ramesh Chander; Edmund Bon Tai Soon; Wan Hamidi Hamid; Gerhard Hoffstaedter; K. Kabilan; Maria Chin Abdullah; Anil Netto; Nik Nazmi Nik Ahmad dan Zulkifli Sulong.

Posted in Malay Books, Politics

Politik Citra di Malaysia: Antara Kebenaran dan Kepalsuan

Author: Ismail Hashim Yahaya
Format: Paperback, 140 pages
Subjects: Politics, Social Studies
ISBN: 9789670630410
Publisher: SIRD
Published: 2014
Price: RM20.00

Buku ini yang pertama seumpamanya di negara ini yang membicarakan mengenai politik dari perspektif citra. Walau citra atau imej sering dikaitkan dengan periklanan tetapi Ismail Hashim telah cuba mengaitkan aspek pengwajahan senario politik negara dari sudut pandangan citra.

Seperti yang dijelaskan Sdr Wan Hamidi Hamid dalam kata penghantarnya yang membezakan buku ini daripada yang lain-lain dalam angkatannya adalah faktor ilmu dan ilmiah.

Ismail Hashim sebagai penulis berkongsi segala apa yang ada pada dirinya sebagai seorang ahli akademik. Tulisan-tulisannya mahu mengajak pembaca keluar seketika dari zon selesa untuk mengasah minda yang selama ini sering dibekukan dengan polemik yang bersifat seperti permainan bola sepak. Tulisan-tulisan beliau banyak berkisar tentang demokrasi yang dirasakannya agak dangkal dalam amalan seharian di Malaysia. Ketajaman pemerhatian, malah kritikan beliau, banyak ditujukan kepada apa yang disifatkannya sebagai politik citra, yakni yang bersifat imej.

Maksudnya bukan demokrasi yang menjadi amalan tetapi sifat-sifat, kata-kata, malah iklan-iklan tentang demokrasi yang menjadi amalan masa kini. Sebagai seorang akademik, sebagai seorang wakil dunia intelek, sebagai pemerhati politik, nampaknya beliau lebih mahukan kepada pencerahan minda. Seperti yang dicatatkannya sendiri, ‘…identiti kaum intelektual ialah untuk melakukan transformasi pemikiran kepada negara dan masyarakat.’

Persoalan buku banyak membicarakan realiti. Realiti selalu menampakkan kehadirannya dalam cara yang berbeza. Kekadang ia hadir umpama suatu dugaan atau halangan. Tetapi sering juga hadir dalam keadaan tidak terduga seperti dalam bentuk citra yang tampak dalam susunan tetapi sering pula dalam bentuk ‘chaos’ atau ketidakberaturan. Kekadang realiti muncul dalam refleksi yang rasional dan sering pula dalam refleksi yang tidak rasional. Buku ini patut dibaca bukan sahaja oleh ahli akademik tetapi para mahasiswa dan orang awam yang ingin memahami senario politik dari pespektif yang lebih segar dan kelainan ialah citra dan pencitraan.

 

Posted in Malay Books, Politics, Social Studies

Derita Penjara Tanpa Bicara: Kisah Kekejaman Akta Zalim

Author: Saari Sungib
Format: Paperback, 200 pages
Subjects: Politics, Social Studies
ISBN: 9789670630199
Publisher: SIRD
Published: 2014
Price: RM25.00

 

Sebagai kesimpulan, bolehlah dikatakan buku ini berjaya mencapai dua hal yang penting. Pertama, dengan memberikan bukti-bukti yang konkrit tentang kezaliman ISA daripada pelbagai aspek dan perspektif, Saari memberikan hujah meyakinkan supaya ISA ditolak dan dihapuskan. Memang benar kini ISA sudah dihapuskan, akan tetapi gantinya SOSMA tidak ubah daripada ISA dan sudah seharusnya dimansuhkan. 

Kedua, dengan menghuraikan segala pengalaman yang dilaluinya sendiri dan juga yang dialami oleh ramai orang tahanan lain di bawah ISA di negara ini, dan juga oleh tahanan politik di negara lain, seperti mereka yang ditahan oleh Amerika Syarikat di Guantanamo, Saari berjaya mengemukakan semacam sebuah manual lengkap yang boleh memberi panduan serta peringatan berguna kepada bakal orang tahanan bahkan juga mereka yang sedang ditahan.

Buku ini berguna sekali dan penerbitannya sangat dialu-alukan.

Dr Syed Husin Ali

Penahanan ISA adalah penahanan politik. Oleh itu hanya perkiraan politik sahaja yang menjadi sebab seseorang tahanan politik itu dibebaskan.

Pihak yang membuat keputusan menahan seseorang tahanan politik adalah orang politik. Perkara yang paling tidak disenangi oleh orang politik adalah tekanan politik. Seteguh mana pun kedegilan orang politik itu bertahan menghadapi tekanan politik – tempatan, serantau dan antarabangsa, lambat laun pasti ia akan tumbang juga!

Undur tetap undur juga ia akhirnya!!

Dengan itu seorang tahanan politik mesti bangkit dan lawan! Tentang kezaliman sehabis-habisan. Terus tingkatkan tekanan politik! Jangan duduk diam!

Berdiam diri dan membenarkan diri dizalimi adalah satu kezaliman!

Saari Sungib
Ahli Dewan Negeri Selangor

 
Posted in Malay Books, Politics, Social Studies

Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi

Author/Editor: Azhar Ibrahim
Format: Paperback, 258 pages
Subject: Social Studies
ISBN: 9789670630137
Publisher: SIRD
Published: 2014
Price: RM33.00
 
…para inteligensia kita seharusnya memikul tugas kemanusiaan dengan berfungsi sebagai peninjau idea dan penggerak menyanggah autoriti kuku besi dan salah guna kuasa, serta mengungkap gagasan idealisme pembaharuan yang boleh diterokai dalam masyarakatnya, dengan menyemai pemikiran kritis dan kreatif yang penting dalam menyuguhkan budaya berfikir. Mentelah lagi, di saat-saat ketaksuban idea dan rasa defensive apabila identiti agama/budaya kita dipalitkan dengan penjenayahan keganasan dan rasisme, adalah menjadi kewajiban di kalangan para inteligensia (a) memperbetulkan prejudis manusia yang senang mencari kambing hitam sebagai sasaran kebenciannya; (b) mengafirmasi moral restraint dalam keadaan saling tuduh dan saling berdendam; (c) menepis segala bentuk dogmatisme yang datang menjelma dalam berbagai aliran pemikiran baik agama, kebudayaan, politik dan sebagainya.

Azhar Ibrahim menghimpun makalah-makalah berkenaan para inteligensia khasnya dari sudut gagasan pemikiran yang mereka bawa. Pertemuan dan perkenalan beliau dengan mahaguru, sasterawan dan budayawan menginspirasi untuk mengenali kelompok ini dengan lebih lanjut sehingga  dikumpulkan menjadi sebuah buku yang sekarang berada di tangan anda.

Hal ini agar termaklum bahawa golongan intelektual/inteligensia adalah kelompok yang penting dalam setiap masyarakat kerana mereka menjadi obor pencerahan, pengaju keadilan dan penyeru kepada perubahan dan kemajuan. Masyarakat yang terkebelakang mungkin dapat memecahkan belenggu masalah sekiranya ia memiliki kelompok intelektual berfungsi, yang tentunya didukungi oleh kepimpinan negara yang bervisi dan beretika.

Azhar Ibrahim adalah Felo Pelawat di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS). Beliau meraih ijazah Doktor Falsafah dan Sarjana dari universiti yang sama dalam pengkhususan Pengajian Melayu, khasnya dalam bidang sastera Melayu klasik, pemikiran Islam Nusantara, dan wacana sastera dan inteligensia Melayu masa kini. Sebelum berkhidmat di NUS, beliau pernah menjadi pensyarah di Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang. Tumpuan kajian beliau adalah sosiologi sastera, teologi sosial, wacana kebudayaan, peradaban dan pemikiran Islam, serta minat dalam hal-hal literasi kritis dan pembangunan intelektual Melayu. Beliau telah selesai menamatkan kajian pasca-doktoral di Fakulti Teologi, Universiti Kopenhagen, Denmark dan di Universiti Stanford, Amerika Syarikat pada 2009-2011.

 
Posted in Malay Books, Social Studies

Budaya Makanan Cina Peranakan Terengganu dan Kelantan: Penyelarasan Identiti dan Kontradiksi Dalaman

Authors: Kamarudin Ngah, Mohd Shah Imran Lim Abdullah and Tan Yao Sua
Format: Paperback, 107 pages
Subjects: Arts & Culture, Ethnic Studies, Social Studies
ISBN: 9789670630267
Publisher: SIRD
Published: 2014
Price: RM20.00

 

Monograf ini meninjau budaya makanan dua kumpulan Cina Peranakan yang menetap di pantai timur Semenanjung Malaysia, iaitu Cina Peranakan Tirok di negeri Terengganu dan Cina Peranakan Pasir Parit di negeri Kelantan.

Tumpuan utamanya adalah terhadap dua jenis makanan yang memperlihatkan kedinamikan kedua-dua kumpulan Cina Peranakan ini menyelaraskan identiti mereka, iaitu identiti Melayu yang dipupuk menerusi proses akulturasi dan identiti asal yang diwarisi daripada generasi awal.

Dua jenis makanan tersebut ialah makanan harian dan makanan upacara penyembahan nenek moyang. Dari segi makanan harian, kedua-dua kumpulan Cina Peranakan ini amat dipengaruhi oleh budaya makanan penduduk Melayu tempatan. Dengan kata lain, makanan harian mereka menonjolkan proses lokalisasi makanan yang cukup ketara.

Walau bagaimanapun, makanan harian yang disediakan oleh mereka itu turut terdiri daripada makanan hibrid yang mengadunkan budaya makanan yang berbeza. Biarpun makanan hibrid ini hanya disediakan sekali sekala, ia tetap merupakan satu kontradiksi dalaman kepada budaya makanan harian mereka, lebih-lebih lagi makanan hibrid tersebut rata-rata membabitkan penggunaan bahan masakan yang istimewa kepada orang Cina tetapi dilarang oleh agama Islam.

Sementara itu, makanan upacara penyembahan nenek moyang yang disediakan oleh mereka itu bertujuan untuk memperkukuh ikatan primordial mereka dan oleh itu, makanan tersebut terdiri daripada makanan yang sama ada memperlihatkan identiti makanan Cina yang ketara atau simbolisme makanan yang dapat mendukung pengekalan dan kesinambungan salasilah keturunan dan persanakan keluarga mereka.

Namun, terdapat juga kontradiksi dalaman dari segi penyediaan makanan ini kerana sesetengah makanan yang disediakan oleh mereka itu terdiri daripada makanan tempatan dan makanan hibrid yang menyebabkan penghakisan identiti primordial mereka. Pendek kata, kedua-dua jenis makanan ini menonjolkan kekompleksitian Cina Peranakan Tirok dan Pasir Parit menyelaraskan identiti mereka menerusi budaya makanan mereka yang bersifat silang budaya itu.

 
Posted in Arts & Culture, Ethnic Studies, Malay Books, Social Studies

Gerakan Pendidikan Cina Di Malaysia: Satu Kajian Tentang Perjuangan Dong Jiao Zong (1970-2002)

Author: Cheong Yuen Keong
Format: Paperback, 438 pages
ISBN: 9789675832710
Publisher: SIRD
Published: 2013
Price: RM38.00
 
Buku ini meninjau tentang Gerakan Pendidikan Cina di Malaysia Khususnya menumpu kepada perjuangan Dong Jiao Zong dari tahun 1970 hingga 202. Tempoh masa ini dipilih atas sebab kerajaan mula melaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menghala kepada penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar tunggal di semua institusi pendidikan dengan spenuhnya pada tahun 1970, manakala tahun 2002 dipilih sebagai tarikh berhenti atas sebab terdapat perubahan menonjol dalam pelaksanaan dasar tersebut apabila bahasa Inggeris mula digunakan sebagai bahasa pengantar untuk mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik mulai tahun 2003.

Sememangnya tempoh masa ini merupakan jangka waktu pendidikan Cina dilanda banyak krisis dan dilemma lantaran kesungguhan kerajaan untuk merealisasikan ‘matlamat akhir’ Laporan Razak 1956 yang mencadangkan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar tunggal di semua institusi pendidikan. Pelaksanaan kerajaan tersebut dianggap sebagai suatu tindakan untuk menyekat perkembangan pendidikan Cina dan menghakis identity sekolah Cina oleh Dong Jiao Zong. Dalam buku ini, permasalahan pencetusan Gerakan Pendidikan Cina diteliti mengikut kerangka konflik etnik, iaitu antara pembentukan bangsa-negara dan pengekalan identity etnik, serta pembalahan persepsi tentang konsep pluralistic dalam bidang pendidikan dan bahasa, iaitu antara pemupukan system persekolahan satu aliran dengan pelbagai aliran.

Dari segi lain, perjuangan Dong Jiao Zong ditinjau dari kerangka perjuangan kumpulan kepentingan yang berjaya mencetuskan gerakan social yang berterusan dan berpengaruh. Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa perjuangan Gerakan Pendidikan Cina yang diterajui Dong Jiao Zong ini membawa impak dan pengaruh yang kuat kepada negara amnya dan masyarakat Cina khususnya. Keupanyaan Gerakan Pendidikan Cina mempengaruhi pola pengundian dan pendirian masyarakat Cina menyebabkan parti-parti politik memandang serius tentang tuntutannya dan kerajaan turut menyediakan ruang kompromi kepada perkembangan sekolah Cina.

 
Posted in Education, Ethnic Studies, Malay Books

Braemar… Bila perempuan tua dan anak muda bangkit!

Author: S. Arutchelvan
Format: Paperback, 232 pages
Subject: Social Studies
ISBN: 9789832344179
Publisher: SIRD
Published: 2013
Price: RM20.00

 

Rumah – keperluan asas, suatu hak asasi. Hayati detik-detik perjuangan 14 keluarga untuk rumah selama 10 tahun. Perjuangan yang mengajar siapa kawan dan siapa musuh. Perjuangan yang telah membawa warga tua dan anak-anak muda sama-sama bangkit melawan keangkuhan pemaju, polis, samseng dan ahli-ahli politik.

Umur bukan halangan, jantina bukan alasan, perpaduan dan kewibawaan kelas satu-satunya titik persamaan yang akan menentukan kejayaan perjuangan kelas bawahan. Taktik-taktik yang diguna pakai, konflik antara kepentingan masyarakat dan individu, insiden-insiden yang tidak dijangka memang akan mengkagumkan pembaca. Sejarah telah dicipta dan ia telah dicatatkan dengan begitu teliti ……

Pustaka Kiri,
Balakong Kajang

 
Posted in Malay Books, Social Studies

Membina Bangsa Malaysia

Editors: Abu Hassan Hasbullah and Aida Idris
Format: Paperback, 199 pages
Subject: Social Studies
ISBN: 9789675832468
Publisher: SIRD
Published: 2012
Price: RM23.00
 
Hasil kolaborasi enam orang penulis akademik dan bukan akademik, buku ini merupakan suatu usaha untuk mengupas cabaran dan hala-tuju rakyat Malaysia dalam membina identiti sebagai sebuah bangsa dari pelbagai aspek kenegaraan.

Aziz Bari memberi analisa kritikal tentang undang-undang, hak asasi manusia dan demokrasi; sementara kebebasan media dan maklumat serta potensi teknologi baharu dibicarakan oleh Ooi Heng.

Aida Idris merumuskan perkembangan serta masa depan ekonomi, manakala Dinsman merenung perkembangan seni-budaya dari perspektif seorang aktivis.

Permasalahan kepimpinan remaja dalam masyarakat multi-etnik ditinjau oleh Abu Hassan Hasbullah, dan akhir sekali Syed Ibrahim Syed Noh membincangkan suatu pendekatan holistik mengenai modal insan dan pembangunan sumber manusia.

Diharap penerbitan buku ini akan mencetuskan perbahasan yang sihat dan konstruktif untuk memajukan tanahair dan membina bangsa Malaysia, terutamanya dalam situasi di mana terdapat usaha di kalangan sesetengah pihak untuk memecah-belahkan perpaduan bangsa. Sememangnya, tanpa perbincangan yang jujur lagi terbuka, agak sukar bagi kita maju bersama.

Jomo KS

 
Posted in Malay Books, Social Studies

Masyarakat Penan dan Impian Pembangunan: Satu Himpunan Naratif Keterpinggiran dan Jatidiri

Editors: Zawawi Ibrahim and NoorShah M.S.
Format: Paperback, 187 pages
Subject: Ethnic Studies
ISBN: 9789675832529
Publisher: SIRD
Published: 2012
Price: RM25.00
 
Buku ini merupakan luahan sanubari dan pancaran perspektif masyarakat Penan tentang impian pembangunan mereka, dipetik dari pelbagai lapisan hidup warga pribumi yang terpinggir dalam konteks negara-bangsa Malaysia. Himpunan naratif keterpinggiran dan jatidiri yang terkandung di dalam naskah ini mengungkapkan konsep pembangunan alternative dan ilmu pembangunan mampan kaum Penan yang berpaksikan pengalaman harian mereka, sebagai kaum Penan. Satu kritikan terhadap penjajahan pembangunan ‘ala pembalakan’ yang ganas melanda dan memusnahkan landskap ekologi dan ‘komunitas’ adat mereka.
 
Posted in Ethnic Studies, Malay Books

Tertangkapnya Sa-Ekor Toyo: Surat Dari Teoh Beng Hock

Author: Hishamuddin Rais
Format: Paperback 169 pp.
Subject: Politics
ISBN: 9789675832192
Publisher: SIRD
Published: 2011
Price: RM23.00
 

Buku Tertangkapnya Sa-Ekor Toyo ini adalah rampaian tulisan Hishamuddin Rais yang telah keluar pada tahun 2008/09/11 di Suara Keadilan, Roket, Malaysiakini, Malaysia-Today, dan Tukar Tiub. Ada beberapa tulisan juga yang tidak pernah keluar di mana-mana. Mungkin untuk pembaca yang rakus telah pernah bertemu dan membacanya.

Posted in Malay Books, Politics

Liku-Liku Reformasi: Pakatan Rakyat di Selangor

Editor: Tricia Yeoh
Format: Paperback, 325 pages
Subject: Politics
ISBN: 9789675832093
Publisher: SIRD
Published: 2011
Price: RM30.00

 

Keputusan Pilihan Raya Umum Mac 2008 merupakan satu peristiwa yang tidak dijangka dalam sejarah moden Malaysia. Jumlah pengundi yang signifikan telah berpaling daripada memilih Barisan Nasional untuk memerintah dengan hampir kuasa penuh di peringkat Persekutuan dan Negeri sejak Merdeka. Selangor adalah satu daripada lima buah negeri di abawah pentadbiran kerjasama baru Pakatan Rakyat – yang komited kepada politik baru dan egenda mereformasi dasar. Liku-liku Reformasi adalah satu pengenalan menyeluruh berkaitan pengalaman reformasi Selangor dalam tempoh 2 tahun pertama. Disusun dalam empat aspek teras perubahan – politik, ekonomi, masyarakat dan budaya – para penulis memberi fokus kepada pencapaian dan kesukaran yang dihadapi dalam menterjemahkan cita-cita Pakatan Rakyat. Buku yang lengkap dan mudah difahami ini harus menjadi bacaan wajib kepada mereka yang prihatin terhadap dasar dan politik perubahan serta kedudukan negara Malaysia yang kini berada di persimpangan penting.

Posted in Malay Books, Politics

Asal Usul Sosial Golongan Kiri Melayu: Satu Analisis Berkenaan Kesatuan Melayu Muda

Author: Rustam A Sani
Format: Paperback, 80 pages
Subjects: Politics, Social Studies
ISBN: 9789675832307
Publisher: SIRD
Published: 2011
Price: RM18.00
 
Kesatuan Melayu Muda (KMM) merupakan parti politik Melayu pertama ditubuhkan pada tahun 1938 dan dipimpin oleh Ibrahim Yaacob. KMM sering dianggap sebagai pelopor jalur politik moden Melayu yang dirujuk sebagai ‘Golongan Kiri Melayu’. Secara umumnya, ahli sejarawan bersetuju bahawa politik moden Melayu terbahagi kepada dua jalur yang ketara – kiri dan kanan – sejak 1930-an. Dua jalur ini dibezakan oleh penolakan dan juga kedekatan mereka dengan kecenderungan dan ideologi kiri; latar belakang pendidikan pimpinan mereka dan keluasan pengaruh Indonesia. Kajian ini meletakkan konteks asal usul Golongan Kiri Melayu dalam kerangka struktur sosial yang berubah semasa persekitaran kolonial pada dekad 1930-an, khususnya kemunculan elit baru yang secara sosialnya berbeza daripada aristokrat tradisional. Dihujahkan bagaimana elit baru ini semakin tidak berpuas hati dan hilang sabar terhadap kepimpinan tradisi dalam perjuangan menentang pentadbiran kolonial dan mengusahakan pembentukan masyarakat majmuk.
 
Posted in Malay Books, Politics, Social Studies

Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara

Author: Syed Husin Ali
Format: Paperback, 176 pages
Subject: Politics
ISBN: 9789833782581
Publisher: SIRD
Published: 2008
Price: RM20.00

 

Dua Wajah ialah catitan pengalaman Syed Husin yang ditahan hampir enam tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau ditahan berikutan demonstrasi pelajar yang menyokong petani-petani Baling dan membantah kemiskinan serta kenaikan harga barang pada tahun 1974.

Selepas di tahan hampir dua tahun di Kamunting, beliau dikurung secara berseorangan selama enam bulan ditempat yang tidak diketahui di Kuala Lumpur. Semasa itu, beliau disoal-siasat dan dikenakan berbagai-bagai penyeksaan serta deraan.

Beliau cuba dibabitkan dengan beberapa orang tokoh politik serta wartawan yang telah ditahan atas tuduhan terlibat dengan apa yang didakwa sebagai “konspirasi komunis” di Singapura and Malaysia. Yang menarik perhatian ialah percubaan untuk membabitkan juga beberapa orang pemimpin kanan UMNO ketika itu, termasuk Dr Mahathir.

Dua Wajah menarik kerana pengalaman peribadi dikaitkan dengan beberapa latar belakang sosial dan politik pada masa itu.

 
Posted in Biography & Memoir, History, Malay Books, Politics

Hidup Bagaikan Sungai Mengalir: Kisah 16 Orang Wanita dalam Gerakan Anti-Jepun, Anti-Penjajah dan Kemerdekaan di Malaysia-Singapore (1938-1989)

Author: Agnes Khoo
Format: Paperback, 383 pages
Subjects: Gender & Sexuality, History
ISBN: 9789833782314
Publisher: SIRD
Published: 2007
Price: RM30.00
 
Buku ini berkenaan bagaimana orang biasa seperti anda dan saya telah cuba mencapai sesuatu yang luar biasa dalam satu jangka masa tertentu, di bawah keadaan sosio-politik dan ekonomi yang spesifik. Ia sebuah buku tentang harapan dan aspirasi, dan juga tentang cita-cita dan dilema. Khususnya ia sebuah buku yang dipenuhi kasih sayang, yang disampaikan dengan pelbagai cara. Diharap ia akan membantu kita merenungkan diri kita senderi dengan sikap lebih kritis dan bertanya diri sendiri: “Apakah yang kita buat dengan hidup kita?”
 
Posted in Gender & Sexuality, History, Malay Books

Dari Kuliah ke Jalan Raya: Kisah Sekumpulan Pelajar UKM

Author: S. Arutchelvan
Format: Paperback, 224 pages
Subject: Social Studies
ISBN: 9789833782147
Publisher: SIRD
Published: 2007

Price: RM20.00

 
Dari Kuliah Ke Jalanraya adalah satu cerita benar perjuangan satu kumpulan pelajar India di Universiti Kebangsaan Malaysia. Buku ini menceritakan bagaimana pada zaman mahasiswa kebanyakannya bersifat individualistik dan hanya mementingkan diri sendiri, terdapat juga satu golongan mahasiswa yang turun melibatkan diri dengan masyarakat akar umbi.
 
Posted in Malay Books, Social Studies

Islam Melayu Komunis

Islam Melayu Komunis: Wawancara dengan Abdullah C.D., Rashid Maidin, Abu Samah
Format: Paperback, 112 pages
Subject: Politics
ISBN: 9789832535744
Publisher: SIRD
Published: 2005
Price: RM12.00

 

“… sesiapa yang bersikap adil dan objektif dalam menilai sejarah, saya rasa sudah pasti akan mengakui peranan penting perang gerila ini. Bahkan Tunku Abdul Rahman sendiri dalam Rundingan Baling pada tahun 1955 dulu pernah mengakui sumbangan penting perang gerila ini untuk mencapai kemerdekaan…” – Abdullah C.D.

“… PKM mahu menamatkan perang, tapi biarlah dengan syarat adil dan munasabah. PKM menegaskan soal menyerah diri tidak timbul kerana kami bukan pengganas, tapi pejuang kemerdekaan. Yang kami lawan bukan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, tapi pemerintah penjajah British. PKM juga menyokong rombongan Tunku pergi ke London berunding dengan British untuk kemerdekaan. Tunku mengakui peranan penting perang gerila yang kami lancarkan dalam mencapai kemerdekaan Malaya …” – Rashid Maidin

“… Nak berjuang secara damai atau sebaliknya pada masa itu bukan ditentukan oleh kita semata-mata, tetapi pada pokoknya oleh British. Kalau British sudah mengisytiharkan Undang-undang Darurat, mengharamkan semua parti dan pertubuhan patriotik, melakukan penangkapan besar-besaran di seluruh negara. Dalam situasi begini, saya rasa, kita tidak dapat tidak mesti mengangkat senjata. Ia dipaksakan ke atas kita. Dalam agama Islam pun diizinkan berperang untuk menegakkan keadilan melawan mereka yang zalim …” – Abu Samah

Posted in Malay Books, Politics, Religion